Penghasilan Pulau Rintis

BoBoiBoy ialah produk pertama Animonsta Studios Sdn. Bhd., sebuah syarikat animasi yang ditubuhkan oleh Nizam Razak bersama tiga rakan kongsi yang lain: Safwan Abdul Karim, Anas Abdul Aziz, dan Kee Yong Pin.[3][4]

Konsep asal cerita ini tertumpu kepada satu makhluk asing yang ketagihan kopi bernama Adu Du yang sedang menuju Bumi.[5] Perubahan kecil telah dibuat, di mana berbanding kopi, makhluk asing tersebut kini mencari biji koko.[6] Perubahan tersebut, berdasarkan laman Facebook mereka, disebabkan rasa kopi yang pahit dan "kerana ia lebih dekat dengan jiwa kanak-kanak".[7]

Siri animasi ini disiarkan dalam dua bahasa: versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Kedua-dua versi ini menggunakan sepenuhnya pelakon suara yang berbeza. Dalam versi bahasa Melayu, pelakon suara asal bagi Upin & Ipin, Nur Fathiah Diaz, telah dipilih untuk melakonkan suara watak utama, BoBoiBoy.[8] Siri ini berakhir dengan tiga musim diikuti sekuelnya, BoBoiBoy Galaxy, yang mula bersiaran pada 25 November 2016.